Wednesday, 3 December 2008

kursus siri 3

Untuk kursus literasi komputer siri ke 3, ambo tak berkesempatan untuk bersama peserta. Kebetulan ada kerja di Kuala Lumpur. Sampai balik di kampong pun dah hari terakhir mereka berkursus. Cuma berkesempatan bersama dalam Majlis Penyampaian Sijil kepada peserta kursus sahaja.

Mengikut kata Sdr Edi selaku Penyelaras Kursus, peserta kali ni lebih hilir dari peserta siri kursus yang terdahulu. Mungkin kerana pesertanya terdiri daripada Guru-guru dan kakitangan kerajaaan.

Di kesempatan ini, ambo merakamkan tahniah kepada semua peserta kursus siri ke 3.

Cerah Cuaca

Salam...

Hujan dah mula berhenti sejak dari malam tadi..hari ni dah cerah cuaca..Panas terik..Mungkin Dia nak bagi peluang pada suri rumah untuk sidai kain yang dah hapak..maklumlah dah 2 minggu ujan tak henti-henti..kain, baju, seluar dan tambah-tambah lagi karpet dah 'hapak bangar'. Baunya lebih teruk dari bau jari kaki 'makan ker sebayam'.

Agaknya boh pun tak jadi mari tahun ni..sekali-sekali kesian jugak ker budak-budak nak main air boh. Anak-anak ambo pun dari awal lagi mintak permit nak balik main air boh dikampong tok ayah mereka. Maklumlah, dikawasan rumah tok ayah mereka, air separas pinggang mereka. Ghalik sangat mereka bermain air sampai tak nak naik rumah. Kalau mak dia buat makanan pun mereka lebih selesa makan ditangga rumah. Sambil kaki bermain air boh.

Monday, 1 December 2008

Boh Nak Mari Dah!!!!

salam...ujan masih tak henti-henti...biasanya kalu ujan begini dan disertai angin laut. Orang tua kata boh nak mari dah..

Mengenang kembali diwaktu sekolah rendah, musim beginilah yang ditunggu-tunggu. Kami semua pakat buat tauk. Mungkin budak-budak ler ni dah tak kenal gaper dia tauk. Tauk ni sejenis alat untuk tangkap ikan. Ianya seakan pancing ikan jugak tapi batang tauk ni dibuat dari buloh dan panjangnya lebihkurang 5 kaki sahaja. Ianya ditahan dalam baroh padi berumpankan cacing dan diletak disitu dari petang sehingga ke pagi esok. Pagi-pagi selepas solat suboh, kami berarak ke sana untuk tengok ada rezeki ker tidak. Biasanya ikan wan(haruan) yang selalu kami dapat. Masak lemak gulai kuning dibuboh daun kadok. Mmmmmmmmmm. Kalah KFC.

Tapi ler ni, susah sangat dah nak dapat makan ikan wan. Di pasar Tumpat, Cabang Empat Tok Mek Ngah dan Wakaf Bharu pun tak dak. Dah acap kali ambo kesana kerana teringat nak makan gulai daun kadok dengan ikan wan. Tapi tok peraeh kata, payah dah awe nak makan ikan wan ler ni. Mak cik tu royak racun kuat sangat ore dok nanam padi. Ikan wan pun dah tak dak.

Kalau begitulah keadaannya, mungkin ni rezeki bagi usahwan tani. Peluang untuk ternak ikan haruan dalam sangkar atau dalam takong sudah terbukak luas. Pasaran bagi ambo tak jadi masalah. Mungkin pengeluar maajon ikan haruan akan berduyung-duyung mari kampong ambo lepas ni.

Tuesday, 25 November 2008

Tahniah




Salam.....



Hujan masih tak henti2. Dah nak masuk 2 minggu cuaca silih berganti. Antara hujan dengan redup. Lansung tak bagi peluang untuk orang rumah kita sidai kain di ampaian.

Minggu ni, kursus literasi komputer di Medan Info Desa Kok Pasir dah masuk siri ke 2. Esok peserta ni grad. Meskipun hujan tak berenti, semua peserta kursus on time datang. Tepat pada waktunya.

Alhamdulillah...

Peserta kali ni agak veteran sikit. Meskipun terpaksa tercari-cari abjab huruf di key board, kerana first time sentuh key board dan mata pun dah kelabu, tapi mereka tak mengalah. Mereka meme kental. Kalah sabun pencuci cap harimau satu ketika dulu. Semangat mereka meme kuat. 2 daripadanya dah masuk umur subsidi. Tapi perasaan ingin tahu mereka berdua kalah golongan belia. Di hari pertama sesi kursus, minda saya berkata2, "demo berdua ni boleh on/ off komputer pun dah ok" . Tapi rupa2nya saya silap sakan. Hari ni saya ke MID lagi. Rupa2nya mereka hebat. Bukan setakat boleh on/ off, tapi dah lebih dari tu.Dah boleh buat iklan ngurut lagi. Mmmmmmmmmm....


Tahniah pada peserta kursus siri 2.


Sunday, 23 November 2008

Kok Pasir Melangkah Lagi




Salam........

Setinggi-tinggi syukur dipanjatkan pada Yang Memiliki segalanya. Kampong Kok Pasir telah melangkah setapak lagi. Mendahului kampong-kampong lain, khususnya di Daerah Tumpat ni. Bermotto kan "Segalanya di hujung jari anda", Kok Pasir terus meninggalkan kampong-kampong lain. Bermula ahad lepas, 16 November Kok Pasir telah mencatat sejarahnya tersendiri. Melatih penduduk kampong dengan menggunakan kemudahan yang amat selesa. Ber air-condition dan bangunan baru.

Medan Info Desa telah mula digunakan. Berfungsi melatih khususnya masyarakat kampong membiasakan diri dengan komputer. Membudayakan komputer, seperti masyarakat kota di zaman kontemporari. Kursus literasi komputer siri 1 telah bermula. Sila kunjungi http://kursusliterasi11.pesisir.net/

/..

Sunday, 26 October 2008

Rasa Peduli Di Luar Ramadan

Oleh Ahmad Lutfi Othman

 Kita sering diperingatkan bahawa antara hikmah puasa adalah menyemai rasa peduli dan prihatin terhadap golongan fakir miskin, dapat merasai perit perut mereka menahan lapar, serta menyuntik keinsafan untuk segera membantu masyarakat yang melarat. Banyak kisah teladan Nabi dan para sahabat yang berupaya mendorong menyuburkan sifat pemurah dan melahirkan lebih ramai dermawan, bukan sekadar terbatas di bulan Ramadan.

Dalam Islam keadilan sosial cukup dititik-beratkan, selain keadilan hukum. Amien Rais merumuskan: Banyak sekali ayat al-Quran yang mengingatkan bahawa harta kekayaan tidak boleh berputar di tangan kelompok kaya saja (al-Hasyr: 7); bahawa orang-orang bertaqwa adalah mereka yang menyedari bahawa dalam harta kekayaan yang ia miliki ada hak bagi golongan fakir dan miskin (az-Zariyat: 19), bahawa perhatian yang penuh harus kita berikan kepada lapisan masyarakat yang belum hidup wajar sebagai manusia (al-Haqqah: 33-34; al-Fajr: 17-18; dan al-Ma'un: 1-2).

Mampukah madrasah Ramadan menyemai budaya menyantuni golongan miskin, memandang mereka dengan penuh kasih sayang sehingga tertanam rasa gelisah jika tidak dapat membantu meringankan beban kelompok yang sering direndah-rendahkan itu?
Seorang isteri tahanan ISA pernah mengeluh: "Mengapa hanya semasa 10 hari terakhir puasa, bantuan mencurah-curah, tapi selepas itu senyap? Apakah kami hanya makan sewaktu Ramadan atau Aidilfitri saja?" Perhatikan juga kunjungan ke rumah anak-anak yatim, orang-orang tua di musim lebaran, memang menakjubkan. Mereka dibawa ke hotel lima bintang, dijamu puas-puas; sayang, selepas itu kembali dilupakan.

Menurut pengkaji, ada dua hal utama yang dilakukan Rasulullah untuk membebaskan dan membela kelompok miskin. Pertama, membangkitkan harga diri golongan susah ini, dengan baginda memilih hidup di tengah para hamba sahaya dan orang miskin, sehingga Nabi digelar abul masakin (bapa bagi orang miskin). Kedua, baginda memilih hidup seperti orang miskin, hidup sederhana, ditahannya lapar berhari-hari kerana Nabi mengerti sebahagian sahabatnya sering kelaparan.

Sikap prihatin ini membudaya dalam diri para sahabat, antaranya Umar al-Khattab. Hidayat Nur Wahid mengungkapnya dengan baik sekali: "Malam yang tenang menyelimuti mereka yang sudah kembali ke peraduan. Seorang lelaki menyingkirkan selimutnya. Dia bangkit berjalan menyusuri lorong-lorongnya yang sepi. Angin berhembus dingin menusuk tulang. Lelaki itu keluar menyatu dengan malam. Dia tidak boleh tidur. Dia khuatir kalau ada musafir terlantar yang tidak menemui tempat penginapan, orang sakit yang memerlukan ubat, dan orang kelaparan yang tidak menemui sesuatu yang mengalas perutnya. Dia khuatir ada urusan rakyatnya yang dia abaikan. Bahkan dia juga merasa bertanggungjawab terhadap seekor kaldai yang tergelicir di tepi sungai Furat."

Kisah masyhur itu perlu diulang-ulang untuk menyebatikan diri kita dengannya. Umar yang sering mengadakan "lawatan mengejut" itu kemudiannya terdengar bicara ibu dan anak gadisnya dari sebuah rumah kecil. Si anak menolak cadangan ibunya yang mahu mencampurkan susu dengan air sebelum dijual kerana Amirul Mukminin melarangnya. Ibu menjawab, "Umar tidak melihat kita". Dipintas cepat si anak: "Seandainya Umar tidak melihat, tetapi Tuhan Umar melihat kita." Umar kemudiannya menjodohkan 'Ashim, puteranya dengan gadis warak itu, Umm Ammarah, yang melahirkan puteri bernama Laila, dan berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan, yakni bapa Umar Abdul Aziz, yang seterusnya dikenang dengan kisah kesederhanaan dan kewarakan menjaga harta awam, suatu cerita yang mungkin dianggap hampir mustahil diulangi di zaman ini. Tahniah buat Lim Guan Eng yang berani "menyanggupi" untuk meneladani watak unggul itu. Untuk pemimpin (bukankah kita semua ini pemimpin?), renungilah kata-kata Umar: "Kalau rakyat mengalami kekenyangan, akulah orang yang terakhir menikmatinya, tapi jika mereka mengalami kelaparan, akulah yang pertama merasakannya."

Meneliti sumbangan buat tabung harakahdaily untuk mangsa ISA, saya masih yakin nurani kebanyakan kita masih jernih dan tulus untuk terus membantu. Saya tidak risaukan orang biasa, cuma bimbang dengan pemimpin (dan mereka yang rapat dengannya) yang selalu ditimpa ujian kesenangan dan kemewahan!

Adab Dengan Guru Makin Terhakis?

Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS

Baru-baru ini kita mendengar berita mengenai pelajar yang menendang dan menumbuk gurunya hanya kerana dimarahi tidak menyiapkan kerja sekolah. Tidak cukup dengan itu, pelajar-pelajar itu memanggil rakan-rakan lain untuk sama membalas dendam kepada guru tersebut. Bayangkan guru yang ketakutan tersebut, terpaksa melarikan diri menyelamatkan diri dan melaporkan perkara tersebut kepada polis.

Banyak lagi kes-kes yang kita telah dengar dan mungkin banyak lagi yang belum didedahkan. Sungguhpun kes tersebut adalah sebahagian daripada kes-kes terpencil, tetapi kejadian-kejadian tersebut tidak harus berulang, kerana ia bukan sahaja menjejaskan reputasi sekolah dan institusi pendidikan, tetapi melambangkan kebejatan adab di kalangan pelajar terhadap guru. Soalnya, di manakah silapnya? Apakah peranan yang harus dimainkan oleh semua pihak dalam menangani hal ini?

Fenomena yang menakutkan

Barangkali pada zaman sebelum merdeka, ibu bapa kita tidak pernah membayangkan situasi di atas akan berlaku. Guru pula yang seakan-akan dihukum oleh pelajar dan pelajar menentukan bagaimana guru harus melayani mereka. Tidak dinafikan bahawa zaman dan situasi semasa telah banyak merubah senario pendidikan pada hari ini.

Tugas guru semakin mencabar dan berat, bukan sahaja dihambat masa untuk menghabiskan sukatan pelajaran kepada para pelajar, tetapi juga perlu menghadapi kerenah sesetengah pelajar yang tidak beradab dan tidak tahu menghormati guru.

Guru menghadapi ancaman seperti kereta dicalar dan tayar dipancitkan, bahkan diancam dicederakan. Soal pelajar bercakap kasar dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada guru barangkali sudah menjadi mainan kepada guru disiplin.

Tambah malang sekiranya apabila tindakan diambil ke atas pelajar, guru dipersalahkan dan 'diserang' pula oleh para ibu bapa.

Ini sedikit sebanyak akan menjejaskan semangat guru untuk mendidik para pelajar dan akhirnya beranggapan bahawa tugas mendidik dan mengajar adalah dua perkara berbeza. Tugas mereka hanyalah mengajar sukatan pelajaran sekolah dan pelajaran adab diletakkan pada bahu guru tertentu sahaja kerana tidak berupaya atau tidak mahu masuk campur dalam hal tersebut.

Kita mengetahui bahawa tugas guru bukan saja mengajar, tetapi perlu menyambung kesinambungan tugas ibu bapa dalam mendidik anak-anak.

Namun begitu, tugas menyemai dan mendidik anak akan erti akhlak dan budi mesti bermula daripada ibu bapa dan dorongan keluarga.

Guru di sekolah hanya menyuburkan sifat-sifat tersebut dengan menunjukkan contoh yang baik dalam pergaulan serta perhubungan dengan pelajar dan sesama guru.

Anak-anak yang tidak diajar dengan adab sedari kecil akan membentuk watak yang memberontak dan terkongkong di sekitar pemikiran mereka sahaja. Tanpa adab, pelajar akan bercakap dengan kasar, sinis serta terlalu bebas bersuara kerana merasakan diri sudah pandai dan tak perlu diajar tentang tingkah laku.

Hal yang sebaliknya akan berlaku apabila adab dititipkan ke dalam diri anak-anak, ia akan melahirkan pelajar yang menghormati pandangan orang lain, berbudi ketika berbahas, serta memahami perasaan orang lain serta lebih berketerampilan.

Islam amat menyanjung tinggi pengorbanan guru sebagai pendidik. Rasulullah SAW sangat menghormati majlis ilmu dan juga menggalakkan umatnya untuk menghormati guru. Apatah lagi guru tersebut lebih tua daripada pelajar, maka guru selayaknya diberi penghormatan yang tinggi kerana usia mereka serta pengorbanan yang mereka lakukan.

Pelajar seharusnya menganggap mereka sebagai teman dan ibu bapa kedua mereka di sekolah selain daripada ibu bapa di rumah.

Guru adalah merupakan ejen kepada keberkesanan pendidikan. Kejayaan dan keberkesanan para guru adalah bersandarkan tanggungjawab, kelengkapan, keilmuan dan keluhuran peribadi.

Pendidik dari kacamata Islam merupakan murabbi, muallim, muaddib, alim atau ulama. Mereka berfungsi bukan saja untuk memberi kesedaran pada diri sendiri malah juga masyarakat. Ia juga berkait rapat tentang tanggungjawab, amanah, komitmen dan hubungannya dengan Allah.

Allah telah meletakkan orang yang beriman dan berilmu ke tahap yang paling tinggi, seperti firman-Nya: Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat. (al-Mujadalah: 11)

Dalam suatu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Tiada perkara yang lebih berat di timbangan akhirat selain akhlak yang mulia. Dan sesungguhnya, orang yang mempunyai budi pekerti yang akan mencapai darjat orang yang berpuasa dan mengerjakan solat". (riwayat Tirmizi dan Abu Daud)

Pelajar atau guru yang membentuk suasana sekolah?

Apabila timbul kes pelajar buli guru, siapakah yang mengambil kesempatan untuk melepaskan diri sendiri? Pelajar, sekolah atau ibu bapa? Terdapat di kalangan ibu bapa yang melepaskan sepenuhnya tanggungjawab mendidik anak-anak ke bahu pihak sekolah dan apabila hal yang kurang baik berlaku, pihak sekolah dipersalahkan untuk menutup malu di atas kesilapan mereka tidak mendidik anak dengan baik.

Di sekolah, guru menghadapi tanggungjawab yang banyak dan besar. Suasana pembelajaran di sekolah banyak bergantung kepada keupayaan guru dan pelajar untuk saling memahami falsafah dan misi sesuatu sekolah. Teras kedua dalam Rancangan Malaysia Kesembilan ada menggariskan mengenai meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk 'minda kelas pertama'.

Di dalam teras tersebut mengandungi Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menggariskan bahawa untuk menambah baik kualiti pendidikan antara lain adalah dengan mewujudkan persekitaran yang kondusif serta meningkatkan keupayaan guru dalam profesion mereka.

Terdapat para pelajar yang tidak berminat dengan suasana sekolah sama ada kerana peraturan yang terlalu ketat atau suasana pembelajaran yang tidak kondusif. Ia terjadi kerana terdapatnya faktor luar yang menarik perhatian mereka sedangkan faktor dalaman di sekolah seolah-olah menolaknya dan tidak menggalakkan pelajar untuk berminat dengan pelajaran di sekolah.

Mata pelajaran yang agak susah atau penyampaian guru yang tidak berkesan boleh menjadi faktor tolakan kepada pelajar ini. Selain itu, pengaruh hedonisme atau budaya bersuka-suka yang semakin membarah dalam masyarakat kita pada hari ini boleh menjadi punca kepada mengapa pelajar tidak berminat untuk belajar seterusnya bersikap biadap terhadap guru di sekolah.

Justeru, dalam mengatasi hal ini, sokongan semua pihak amat diperlukan. Guru harus bersifat lebih ihsan terhadap pelajar, namun dalam masa yang sama harus tegas dengan kebenaran dan kebatilan. Pihak sekolah mesti mengadakan lebih banyak aktiviti bersama pelajar dengan menggalakkan penyertaan semua pelajar dalam kegiatan yang berfaedah.

Para pelajar pula harus belajar mendengar pandangan orang lain serta belajar untuk berhujah dengan baik sekalipun terdapat perkara yang mereka rasakan tidak betul.

Seterusnya ibu bapa wajib memainkan peranan utama dalam mendidik anak-anak mereka mengenai adab terhadap orang lain, dan bukan hanya meletakkan tanggungjawab tersebut kepada pihak sekolah. Akhir sekali, masyarakat serta media massa perlu menunjukkan contoh tauladan yang baik dengan mengamalkan tingkah laku serta tata susila yang betul apabila bergaul dalam kehidupan seharian.

Kesimpulan

Pelajar tidak harus melupakan batas-batas mereka dengan guru dan tidak hanya menganggap guru sebagai orang yang dibayar gaji untuk menulis di papan hitam segala sukatan mata pelajaran yang telah ditetapkan.

Pujangga Arab pernah menyatakan: "Sesungguhnya umat yang berakhlak akan kekal, tetapi jika akhlak mereka hilang, maka hilanglah mereka."

Justeru, dalam melahirkan generasi yang berketerampilan dan berakhlak mulia, pelajaran adab dan ihsan haruslah ditanamkan dalam jiwa generasi muda agar tidak tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang berusaha menghakis keperibadian mereka. Seperti kata Pendita Zaaba dalam mengungkapkan ihsan dalam syairnya:

"Berbuat baik ayuhai rakan,

Kalau tidak dikenal insan,

Dalam laut ia dicampakkan, Kalau tidak dikenal ikan, Tuhan tahu iakah bukan".