Sunday, 26 October 2008

Rasa Peduli Di Luar Ramadan

Oleh Ahmad Lutfi Othman

 Kita sering diperingatkan bahawa antara hikmah puasa adalah menyemai rasa peduli dan prihatin terhadap golongan fakir miskin, dapat merasai perit perut mereka menahan lapar, serta menyuntik keinsafan untuk segera membantu masyarakat yang melarat. Banyak kisah teladan Nabi dan para sahabat yang berupaya mendorong menyuburkan sifat pemurah dan melahirkan lebih ramai dermawan, bukan sekadar terbatas di bulan Ramadan.

Dalam Islam keadilan sosial cukup dititik-beratkan, selain keadilan hukum. Amien Rais merumuskan: Banyak sekali ayat al-Quran yang mengingatkan bahawa harta kekayaan tidak boleh berputar di tangan kelompok kaya saja (al-Hasyr: 7); bahawa orang-orang bertaqwa adalah mereka yang menyedari bahawa dalam harta kekayaan yang ia miliki ada hak bagi golongan fakir dan miskin (az-Zariyat: 19), bahawa perhatian yang penuh harus kita berikan kepada lapisan masyarakat yang belum hidup wajar sebagai manusia (al-Haqqah: 33-34; al-Fajr: 17-18; dan al-Ma'un: 1-2).

Mampukah madrasah Ramadan menyemai budaya menyantuni golongan miskin, memandang mereka dengan penuh kasih sayang sehingga tertanam rasa gelisah jika tidak dapat membantu meringankan beban kelompok yang sering direndah-rendahkan itu?
Seorang isteri tahanan ISA pernah mengeluh: "Mengapa hanya semasa 10 hari terakhir puasa, bantuan mencurah-curah, tapi selepas itu senyap? Apakah kami hanya makan sewaktu Ramadan atau Aidilfitri saja?" Perhatikan juga kunjungan ke rumah anak-anak yatim, orang-orang tua di musim lebaran, memang menakjubkan. Mereka dibawa ke hotel lima bintang, dijamu puas-puas; sayang, selepas itu kembali dilupakan.

Menurut pengkaji, ada dua hal utama yang dilakukan Rasulullah untuk membebaskan dan membela kelompok miskin. Pertama, membangkitkan harga diri golongan susah ini, dengan baginda memilih hidup di tengah para hamba sahaya dan orang miskin, sehingga Nabi digelar abul masakin (bapa bagi orang miskin). Kedua, baginda memilih hidup seperti orang miskin, hidup sederhana, ditahannya lapar berhari-hari kerana Nabi mengerti sebahagian sahabatnya sering kelaparan.

Sikap prihatin ini membudaya dalam diri para sahabat, antaranya Umar al-Khattab. Hidayat Nur Wahid mengungkapnya dengan baik sekali: "Malam yang tenang menyelimuti mereka yang sudah kembali ke peraduan. Seorang lelaki menyingkirkan selimutnya. Dia bangkit berjalan menyusuri lorong-lorongnya yang sepi. Angin berhembus dingin menusuk tulang. Lelaki itu keluar menyatu dengan malam. Dia tidak boleh tidur. Dia khuatir kalau ada musafir terlantar yang tidak menemui tempat penginapan, orang sakit yang memerlukan ubat, dan orang kelaparan yang tidak menemui sesuatu yang mengalas perutnya. Dia khuatir ada urusan rakyatnya yang dia abaikan. Bahkan dia juga merasa bertanggungjawab terhadap seekor kaldai yang tergelicir di tepi sungai Furat."

Kisah masyhur itu perlu diulang-ulang untuk menyebatikan diri kita dengannya. Umar yang sering mengadakan "lawatan mengejut" itu kemudiannya terdengar bicara ibu dan anak gadisnya dari sebuah rumah kecil. Si anak menolak cadangan ibunya yang mahu mencampurkan susu dengan air sebelum dijual kerana Amirul Mukminin melarangnya. Ibu menjawab, "Umar tidak melihat kita". Dipintas cepat si anak: "Seandainya Umar tidak melihat, tetapi Tuhan Umar melihat kita." Umar kemudiannya menjodohkan 'Ashim, puteranya dengan gadis warak itu, Umm Ammarah, yang melahirkan puteri bernama Laila, dan berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan, yakni bapa Umar Abdul Aziz, yang seterusnya dikenang dengan kisah kesederhanaan dan kewarakan menjaga harta awam, suatu cerita yang mungkin dianggap hampir mustahil diulangi di zaman ini. Tahniah buat Lim Guan Eng yang berani "menyanggupi" untuk meneladani watak unggul itu. Untuk pemimpin (bukankah kita semua ini pemimpin?), renungilah kata-kata Umar: "Kalau rakyat mengalami kekenyangan, akulah orang yang terakhir menikmatinya, tapi jika mereka mengalami kelaparan, akulah yang pertama merasakannya."

Meneliti sumbangan buat tabung harakahdaily untuk mangsa ISA, saya masih yakin nurani kebanyakan kita masih jernih dan tulus untuk terus membantu. Saya tidak risaukan orang biasa, cuma bimbang dengan pemimpin (dan mereka yang rapat dengannya) yang selalu ditimpa ujian kesenangan dan kemewahan!

Adab Dengan Guru Makin Terhakis?

Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS

Baru-baru ini kita mendengar berita mengenai pelajar yang menendang dan menumbuk gurunya hanya kerana dimarahi tidak menyiapkan kerja sekolah. Tidak cukup dengan itu, pelajar-pelajar itu memanggil rakan-rakan lain untuk sama membalas dendam kepada guru tersebut. Bayangkan guru yang ketakutan tersebut, terpaksa melarikan diri menyelamatkan diri dan melaporkan perkara tersebut kepada polis.

Banyak lagi kes-kes yang kita telah dengar dan mungkin banyak lagi yang belum didedahkan. Sungguhpun kes tersebut adalah sebahagian daripada kes-kes terpencil, tetapi kejadian-kejadian tersebut tidak harus berulang, kerana ia bukan sahaja menjejaskan reputasi sekolah dan institusi pendidikan, tetapi melambangkan kebejatan adab di kalangan pelajar terhadap guru. Soalnya, di manakah silapnya? Apakah peranan yang harus dimainkan oleh semua pihak dalam menangani hal ini?

Fenomena yang menakutkan

Barangkali pada zaman sebelum merdeka, ibu bapa kita tidak pernah membayangkan situasi di atas akan berlaku. Guru pula yang seakan-akan dihukum oleh pelajar dan pelajar menentukan bagaimana guru harus melayani mereka. Tidak dinafikan bahawa zaman dan situasi semasa telah banyak merubah senario pendidikan pada hari ini.

Tugas guru semakin mencabar dan berat, bukan sahaja dihambat masa untuk menghabiskan sukatan pelajaran kepada para pelajar, tetapi juga perlu menghadapi kerenah sesetengah pelajar yang tidak beradab dan tidak tahu menghormati guru.

Guru menghadapi ancaman seperti kereta dicalar dan tayar dipancitkan, bahkan diancam dicederakan. Soal pelajar bercakap kasar dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada guru barangkali sudah menjadi mainan kepada guru disiplin.

Tambah malang sekiranya apabila tindakan diambil ke atas pelajar, guru dipersalahkan dan 'diserang' pula oleh para ibu bapa.

Ini sedikit sebanyak akan menjejaskan semangat guru untuk mendidik para pelajar dan akhirnya beranggapan bahawa tugas mendidik dan mengajar adalah dua perkara berbeza. Tugas mereka hanyalah mengajar sukatan pelajaran sekolah dan pelajaran adab diletakkan pada bahu guru tertentu sahaja kerana tidak berupaya atau tidak mahu masuk campur dalam hal tersebut.

Kita mengetahui bahawa tugas guru bukan saja mengajar, tetapi perlu menyambung kesinambungan tugas ibu bapa dalam mendidik anak-anak.

Namun begitu, tugas menyemai dan mendidik anak akan erti akhlak dan budi mesti bermula daripada ibu bapa dan dorongan keluarga.

Guru di sekolah hanya menyuburkan sifat-sifat tersebut dengan menunjukkan contoh yang baik dalam pergaulan serta perhubungan dengan pelajar dan sesama guru.

Anak-anak yang tidak diajar dengan adab sedari kecil akan membentuk watak yang memberontak dan terkongkong di sekitar pemikiran mereka sahaja. Tanpa adab, pelajar akan bercakap dengan kasar, sinis serta terlalu bebas bersuara kerana merasakan diri sudah pandai dan tak perlu diajar tentang tingkah laku.

Hal yang sebaliknya akan berlaku apabila adab dititipkan ke dalam diri anak-anak, ia akan melahirkan pelajar yang menghormati pandangan orang lain, berbudi ketika berbahas, serta memahami perasaan orang lain serta lebih berketerampilan.

Islam amat menyanjung tinggi pengorbanan guru sebagai pendidik. Rasulullah SAW sangat menghormati majlis ilmu dan juga menggalakkan umatnya untuk menghormati guru. Apatah lagi guru tersebut lebih tua daripada pelajar, maka guru selayaknya diberi penghormatan yang tinggi kerana usia mereka serta pengorbanan yang mereka lakukan.

Pelajar seharusnya menganggap mereka sebagai teman dan ibu bapa kedua mereka di sekolah selain daripada ibu bapa di rumah.

Guru adalah merupakan ejen kepada keberkesanan pendidikan. Kejayaan dan keberkesanan para guru adalah bersandarkan tanggungjawab, kelengkapan, keilmuan dan keluhuran peribadi.

Pendidik dari kacamata Islam merupakan murabbi, muallim, muaddib, alim atau ulama. Mereka berfungsi bukan saja untuk memberi kesedaran pada diri sendiri malah juga masyarakat. Ia juga berkait rapat tentang tanggungjawab, amanah, komitmen dan hubungannya dengan Allah.

Allah telah meletakkan orang yang beriman dan berilmu ke tahap yang paling tinggi, seperti firman-Nya: Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat. (al-Mujadalah: 11)

Dalam suatu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Tiada perkara yang lebih berat di timbangan akhirat selain akhlak yang mulia. Dan sesungguhnya, orang yang mempunyai budi pekerti yang akan mencapai darjat orang yang berpuasa dan mengerjakan solat". (riwayat Tirmizi dan Abu Daud)

Pelajar atau guru yang membentuk suasana sekolah?

Apabila timbul kes pelajar buli guru, siapakah yang mengambil kesempatan untuk melepaskan diri sendiri? Pelajar, sekolah atau ibu bapa? Terdapat di kalangan ibu bapa yang melepaskan sepenuhnya tanggungjawab mendidik anak-anak ke bahu pihak sekolah dan apabila hal yang kurang baik berlaku, pihak sekolah dipersalahkan untuk menutup malu di atas kesilapan mereka tidak mendidik anak dengan baik.

Di sekolah, guru menghadapi tanggungjawab yang banyak dan besar. Suasana pembelajaran di sekolah banyak bergantung kepada keupayaan guru dan pelajar untuk saling memahami falsafah dan misi sesuatu sekolah. Teras kedua dalam Rancangan Malaysia Kesembilan ada menggariskan mengenai meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk 'minda kelas pertama'.

Di dalam teras tersebut mengandungi Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menggariskan bahawa untuk menambah baik kualiti pendidikan antara lain adalah dengan mewujudkan persekitaran yang kondusif serta meningkatkan keupayaan guru dalam profesion mereka.

Terdapat para pelajar yang tidak berminat dengan suasana sekolah sama ada kerana peraturan yang terlalu ketat atau suasana pembelajaran yang tidak kondusif. Ia terjadi kerana terdapatnya faktor luar yang menarik perhatian mereka sedangkan faktor dalaman di sekolah seolah-olah menolaknya dan tidak menggalakkan pelajar untuk berminat dengan pelajaran di sekolah.

Mata pelajaran yang agak susah atau penyampaian guru yang tidak berkesan boleh menjadi faktor tolakan kepada pelajar ini. Selain itu, pengaruh hedonisme atau budaya bersuka-suka yang semakin membarah dalam masyarakat kita pada hari ini boleh menjadi punca kepada mengapa pelajar tidak berminat untuk belajar seterusnya bersikap biadap terhadap guru di sekolah.

Justeru, dalam mengatasi hal ini, sokongan semua pihak amat diperlukan. Guru harus bersifat lebih ihsan terhadap pelajar, namun dalam masa yang sama harus tegas dengan kebenaran dan kebatilan. Pihak sekolah mesti mengadakan lebih banyak aktiviti bersama pelajar dengan menggalakkan penyertaan semua pelajar dalam kegiatan yang berfaedah.

Para pelajar pula harus belajar mendengar pandangan orang lain serta belajar untuk berhujah dengan baik sekalipun terdapat perkara yang mereka rasakan tidak betul.

Seterusnya ibu bapa wajib memainkan peranan utama dalam mendidik anak-anak mereka mengenai adab terhadap orang lain, dan bukan hanya meletakkan tanggungjawab tersebut kepada pihak sekolah. Akhir sekali, masyarakat serta media massa perlu menunjukkan contoh tauladan yang baik dengan mengamalkan tingkah laku serta tata susila yang betul apabila bergaul dalam kehidupan seharian.

Kesimpulan

Pelajar tidak harus melupakan batas-batas mereka dengan guru dan tidak hanya menganggap guru sebagai orang yang dibayar gaji untuk menulis di papan hitam segala sukatan mata pelajaran yang telah ditetapkan.

Pujangga Arab pernah menyatakan: "Sesungguhnya umat yang berakhlak akan kekal, tetapi jika akhlak mereka hilang, maka hilanglah mereka."

Justeru, dalam melahirkan generasi yang berketerampilan dan berakhlak mulia, pelajaran adab dan ihsan haruslah ditanamkan dalam jiwa generasi muda agar tidak tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang berusaha menghakis keperibadian mereka. Seperti kata Pendita Zaaba dalam mengungkapkan ihsan dalam syairnya:

"Berbuat baik ayuhai rakan,

Kalau tidak dikenal insan,

Dalam laut ia dicampakkan, Kalau tidak dikenal ikan, Tuhan tahu iakah bukan".

Friday, 24 October 2008

Penghulu Segala Hari

Kemeriahan setiap hari Jumaat masih dirasai oleh ambo dan masyarakat kampong ambo, Kok Pasir. Seperti selalu, bermula selepas solat subuh berjamaah dibalaishah, semua jemaah dijemput kemajlis kenduri. Ada-ada jer majlis kenduri. Pagi tadi kami semua telah dijemput ke majlis aqiqah di kampong Gerong. Lebihkurang 800 meter dari kampong kami. Kata "orang rezeki jangan ditolak dan bala jangan ditempah". Beramai-ramai kami kesana. Semua berkereta kerana sejak akhiran ni, kampong kami kehujanan. Sesampai disana sudah ramai orang tempatan yang menunggu. Menuggu 'Tok Sheikh' untuk mengetuai majlis aqiqah. Sebab dikalangan masyarakat kampong kami, balaishah kami terdiri dari sheikh-sheikh dan orang-orang hebat dalam bab ni.

Sepanjang majlis berjalan, ambo memerhatikan gelagat semua. Terfikir diminda ambo, apa akan jadi bila golongan yang sudah berumur ni tiada. Siapa lagi yang nak jadi sheikh. Selawat sepanjang majlis aqiqah hanya bergerak bibir tanpa suara. Hanya bersuara diketika chorus sahaja. Mengenangkan ni semua, selepas solat jumaat tadi ambo berbincang dengan ustaz-ustaz supaya kekurangan ini dipenuhi. Kelas selawat dan bacaan rawi sewajibnya diadakan sebagai persediaan mengatasi kekurangan ini. Alhamdulillah, ustaz-ustaz angguk-angguk. Pada ambo mereka bersetuju kalu mengikut sifir "anguk tanda setuju". Agaknya siapa yang akan menggerakkan kerja yang baik ni.

Selepas solat jumaat, tok-tok lebai kampong kami sekali lagi berduyun-duyun ke majlis solat hajat. Lepas sebuah rumah, kami kerumah yang satu lagi. Jam 3.30 petang baru kerja-kerja amal ni selesai.

Begitulah kehidupan masyarakat kampong ambo, setiap hari jumaat. Penghulu segala hari.

Menjadi Kaya Dengan Sedekah

Oleh : Maizaidi

Diceritakan, ketika Nabi Ayub a.s sedang mandi, tiba-tiba Allah SWT mendatangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis lengan bajunya agar belalang itu jatuh. Lantas Allah SWT berfirman, "Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?"

Nabi Ayub a.s menjawab, "Ya benar, wahai Sang Pencipta! Demi keagungan-Mu apalah makna kekayaan tanpa keberkahan-Mu."

Kisah di atas menegaskan betapa pentingnya keberkahan dalam rezeki yang dikurniakan Allah SWT. Kekayaan tidak akan membawa erti tanpa ada keberkahan. Dengan adanya keberkahan, harta dan rezeki yang sedikit akan boleh terasakan mencukupi.

Sebaliknya, tanpa keberkahan rezeki yang meskipun banyak akan terasakan sempit dan menyusahkan.

Agar rezeki yang Allah SWT berikan kepada kita menjadi berkah, Rasulullah SAW menganjurkan kepada umatnya untuk memperbanyak sedekah.

Sabda Rasulullah SAW: "Belilah semua kesulitanmu dengan sedekah."

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW menjelaskan: "Setiap awal pagi, ketika terbit matahari, ada dua Malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru, "Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah."

Yang satu lagi menyeru: "Musnahkanlah orang yang menahan hartanya."

Sedekah, walaupun kecil, tetapi amat berharga di sisi Allah SWT. Orang yang bakhil dan kikir dengan tidak menyedekahkan sebahagian hartanya akan rugi di dunia dan akhirat kerana tidak ada keberkahan.

Jadi, sejatinya orang yang bersedekah adalah untuk kepentingan dirinya. Sebab, menginfakkan (belanjakan) harta akan memperoleh berkah dan sebaliknya menahannya adalah celaka.

Sedekah memiliki beberapa keutamaan bagi orang yang mengamalkannya. Pertama, mengundang datangnya rezeki.

Allah SWT berfirman bahwa Dia akan membalas setiap kebaikan hamba-hambaNya dengan 10 kebaikan. Bahkan, di ayat yang lain dinyatakan 700 kebaikan.

Khalifah Ali bin Abi Thalib menyatakan, "Pancinglah rezeki dengan sedekah." Kedua, sedekah dapat menolak bala. Rasulullah SAW bersabda: "Bersegeralah bersedekah, sebab yang namanya bala tidak pernah boleh mendahului sedekah."

Ketiga, sedekah dapat menyembuhkan penyakit. Rasulullah SAW menganjurkan: "Ubatilah penyakitmu dengan sedekah." Keempat, sedekah dapat menunda kematian dan memanjangkan umur.

Kata Rasulullah SAW: "Perbanyaklah sedekah. Sebab, sedekah boleh memanjangkan umur."

Mengapa semua itu boleh terjadi? Sebab, Allah SWT mencintai orang-orang yang bersedekah. Kalau Allah SWT sudah mencintai seseorang hambaNya, maka tidak ada
persoalan yang tidak boleh diselesaikan, tidak ada permintaan dan doa yang
Allah tidak kabulkan serta tidak ada dosa yang Allah tidak ampuni dan hamba tersebut akan meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah (baik).

Kekuatan dan kekuasaan Allah jauh lebih besar dari persoalan yang dihadapi manusia. Lalu, kalau manfaat sedekah begitu dahsyatnya, masihkah kita belum juga tergerak untuk mencintai sedekah? Wallahu a’lam bis-shawab.

Ketika Kebenaran Didustakan Dan Kedustaan Dibenarkan

Oleh: Abu Khaulah Zainal Abidin

Di antara sebab murkanya Allah kepada bangsa Yahudi adalah kerana mereka
mendustakan nabi-nabi yang diutus. Padahal tidaklah Allah memilih utusan-utusanNya, kecuali dari orang-orang terbaik di kalangan dan pada zamannya.

Tentu saja, kerana Allah SWT mengutus mereka dalam rangka mengajak manusia beribadah hanya kepada ALLAH dan meninggalkan kesyirikan. Mereka dipilih untuk diterima, dicintai, diutamakan dan diteladani. Mereka diutus untuk didengar, dipercaya, dibenarkan, kemudian ditaati dan diikuti.

Adapun Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul akhir zaman dan penutup para nabi tentu saja memiliki keistimewaan tersendiri. Beliau diutus untuk segenap manusia yang Allah SWT tidak mengutus lagi seseorang setelah dia, baik nabi, apalagi rasul.

Yang tak ada alasan bagi orang Yahudi maupun Nashara untuk bertahan di dalam agama mereka, yang tidak ada balasan bagi mereka yang menolak ajakan Nabi Muhammad SAW kecuali dimasukkan ke dalam neraka.

"Demi Yang jiwa Muhammad di tangannya! Tidak seorang pun yang mendengar tentangku - apakah itu Yahudi atau Nasrani - kemudian dia mati dalam keadaan belum beriman kepada apa yang aku diutus dengannya, kecuali dia menjadi penduduk neraka. (HR:Muslim)

Dan semua kebaikan dari seluruh utusan ALLAH itu terkumpul pada satu peribadi
yang diutus sebagai penyempurna akhlak manusia - sejak Allah SWT menyatakan telah disempurnakannya agama ini, dilengkapkannya nikmat-Nya dan diredhaiNya Islam sebagai agama. Muhammad SAW adalah peribadi terbaik dari keturunan yang terbaik sebagaimana
yang ia sampaikan:

"Sesungguhnya dari keturunan Ismail Allah telah memilih Kinaanah dan dari
Kinaanah Ia memilih Quraisy dan dari Quraisy Ia memilih Bani Hasyim dan
dari Bani Hasyim Ia memilih aku. (HR: Muslim dari Wailah bin Al Asqa).

Ibnu Katsir rahimahullah menjelaskan di dalam tafsirnya mengenai hubungan antara kesempurnaan agama ini dengan diutusnya Muhammad SAW sebagai berikut:

Inilah nikmat Allah yang terbesar atas umat ini iaitu ketika Ia menyempurnakan agama mereka. Sehingga mereka tak lagi membutuhkan agama-agama lain juga tak lagi membutuhkan nabi selain dari nabi-nabi mereka sendiri.

Dan kerana Allah jadikan dia sebagai penutup para nabi yang diutus bagi segenap jin dan manusia. Maka tak ada yang halal selain yang telah dia halalkan dan tak ada yang haram selain yang dia haramkan.

Dan tak ada agama selain apa yang telah dia tetapkan. Beliau adalah sesempurna-sempurnanya akhlak manusia yang diutus antara lain untuk memperbaiki serta menyempurnakan akhlak manusia, sebagaimana yang Allah SWT tegaskan;
(Artinya: "Sesungguhnya engkau memiliki akhlak yang agung) (Al-Qalam:4)

Kemudian Muhammad SAW berkata: "Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak manusia."

Nabi Muhammad SAW diutus untuk mengajari manusia mengenai kejujuran kerananya mustahil kalau dirinya sendiri pendusta. Nabi SAW diutus untuk mengajari manusia mengenai amanah keranannya mustahil kalau dirinya sendiri khianat.

Baginda SAW diutus untuk mengajari manusia tentang Al Haq, kerananya mustahil
kalau dirinya sendiri menempuh cara-cara yang batil.

Untuk misi yang sangat mulia inilah kerananya Allah SWT tidak membiarkan Muhammad SAW berbicara kecuali di bawah bimbingan wahyu.

(Artinya: "Tidaklah dia (Muhammad) berucap mengikuti hawa nafsu. Tidak lain yang diucapkan adalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.") (An-Njam: 3-4)

Bahkan lebih dari itu, Muhammad SAW pun diperintahkan Allah SWT untuk mengajari para pengikutnya agar meneladani cara-cara beliau berdakwah.

(Artinya: "Katakanlah (wahai Muhammad): Inilah jalanku. Aku menyeru kepada Allah di atas bashirah. Aku dan mereka yang mengikutiku...") (Yusuf:108)

Sehingga Allah SWT pun memberikan jaminan akan keteladanan Muhammad dari sisi atau sudut manapun dan sebagai apapun dia.

(Artinya: "Sungguh pada diri Rasulullah terdapat teladan yang baik bagi mereka yang mengharapkan perjumpaan dengan Allah dan hari akhir serta banyak mengingat Allah.) (Al Ahzab:21)

Setelah begitu sempurnanya Allah SWT persiapkan Muhammad SAW, dipilih dari keluarga terhormat di kalangan dan pada zamannya dikenal sebagai Al Amin, bahkan sebelum dilantik menjadi nabi, dihiasi dengan akhlak mulia yang diakui bahkan oleh musuh-musuhnya, dibimbing di dalam bicara dan berdakwah.

Namun masih begitu banyak yang mendustakannya dan hidayah tidak mereka peroleh. Maka bagaimana pula jadinya jika melalui seseorang yang bukan dipersiapkan oleh Allah, bukan utusan-Nya, tak dikenal sebagai Al-Amin, belum terbukti akhlaknya serta tidak dibimbingkan Allah di dalam bicara dan berdakwah?

Sungguh benar ucapan Muhammad SAW tentang apa yang akan terjadi: "Akan datang pada manusia masa yang penuh tipu daya. Para pendusta dianggap jujur, sebaliknya orang jujur dicap pendusta.

Orang yang khianat dianggap amanah dan orang yang amanah dicap penghianat. Dan para Ruwaibidhah mulai angkat bicara. Ada yang bertanya: "Apa itu Ruwaibidhah?", Baginda menjawab, "Orang dungu yang lalai berbicara tentang umat."

Inilah saatnya zaman tersebut! Zaman yang lebih buruk dari pada zaman ketika Beliau diutus. Orang-orang jahiliyah di masa itu hanya mendustakan Rasulullah. Mereka
hanya mendustakan kebenaran, tetapi tidak pernah membenarkan kedustaan.

Bahkan kedustaan dianggap sebagai akhlak orang-orang rendah. Mereka tidak pernah menjadikan kedustaan sebagai wasilah untuk menggapai maksud. Mereka tidak pernah menghalalkan cara-cara hina guna mencapai tujuan.

Perhatikanlah bagaimana ucapan Abu Sufyan ketika ditanya oleh Raja Najasi,
Hiraklius, perihal Nabi SAW.

"...Demi Allah. Kalaulah tidak takut malu akan disebut pendusta, sungguh aku
sudah berdusta tentangnya..." (HR: Al Bukhari)

Mereka hanya menuduh Rasulullah SAW sebagai orang gila yang dengan sihirnya memecah belah bangsa Arab, tidak lebih dari itu. Tetapi mereka tidak pernah menganggap atau mencap orang-orang khianat sebagai amanah.

Ketika itu, dakwah yang haq disampaikan dengan cara yang haq didustakan. Tetapi dakwah yang batil disampaikan dengan cara yang bathil, tak pernah ada dan tak pernah
mereka benarkan.

Adapun zaman sekarang, dakwah yang haq didustakan dengan berbagai alasan, sedangkan dakwah yang batil dibenarkan dan dianggap benar juga dengan berbagai alasan. Khabar yang sahih diragu-ragukan, sedangkan cerita khayal dianggap suatu kebenaran. Dakwah yang haq ditinggalkan, sedangkan kedustaan dijadikan wasilah dakwah.

Cerpen, dongeng, sandiwara dan yang semisal dengannya tidak lebih dari bentuk-bentuk kedustaan atau kebohongan yang dikemas dengan keindahan bahasa, alur cerita dan cara pengungkapan.

Tetapi hakikatnya tetap dusta. Sedangkan agama yang haq dan mulia ini sama sekali tidak membutuhkan bantuan atau topangan berbentuk kedustaan. Sungguh agama ini terlalu suci dan terlalu mulia untuk mengharapkan bantuan dan pertolongan dari kebatilan.

(Ertinya: "Maka tak ada setelah AL Haq, selain kesesatan.") (Yunus: 32)

Jika melalui peribadi yang sudah dipersiapkan sedemikian rupa saja dakwah belum tentu menyebabkan seseorang mendapat hidayah. Maka apa yang diharapkan melalui dakwah yang dibangun di atas kedustaan?

Lantas, apa ertinya ucapan Rasulullah SAW yang sentiasa mengawali khutbahnya bagi kita semua: "Sesungguhnya, sebenar-benar pembicaraan adalah Kitabullah. Dan sebaik- baik petunjuk adalah petunjuk An-Nabi...."

Lantas, apa sebabnya kita boleh membenarkan kedustaan? Menganggap dongeng khayal sebagai wasilah dakwah sama saja dengan membenarkan kedustaan, sekaligus mendustakan kebenaran.

Bukankah Rasulullah SAw telah memperingatkan kita akan hal ini? Akankah peringatan itu kita dustakan pula? Ya, inilah saatnya zaman tersebut! Di mana kebenaran didustakan dan kedustaan dibenarkan.!

Thursday, 23 October 2008

Program Tautan Kasih


Sesuai dengan namanya, begitu jugaklah tujuan dan matlamat program ini di adakan. Memaut kembali kasih hok lama terpisah. Sejak mereka tak lagi jadi pemastautin di kampong ni, kemesraan sesama anak jati kampong semakin menipis.

Alhamdulillah. Program ni berjaya meskipun kali pertama kami anjurkan.